Selamat Datang Dan Terima Kasih Kerana Melayari Blog Ini

Khamis, 7 Januari 2010

'Saya hanya ikut arahan'

JOHOR BAHRU: "Yang Arif, saya tidak mengaku salah dalam kes ini. Saya mohon supaya diadili seadil-adilnya kerana saya tidak bersalah.

"Saya hanya menurut arahan dan dijadikan kambing hitam dalam kes ini," kata anak lelaki Timbalan Mufti Johor yang juga Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), sebaik diminta memberi pengakuan terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan dua cek berjumlah RM50,000 April tahun lalu.

Sejak sampai ke perkarangan Mahkamah Sesyen kira-kira jam 11 pagi, Mohd Helmi Sha'ri, 28, terpinga-pinga dengan kehadiran wartawan dan jurugambar yang membuat liputan kes berkenaan.

Dia diiringi ke kamar bicara di tingkat empat kompleks Mahkamah Johor Bahru sebelum dua pertuduhan rasuah dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Aliman Musri.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Helmi dari Jalan Bukit Simpang Renggam, Simpang Renggam, didakwa memperoleh suapan dalam bentuk cek RHB Bank berjumlah RM48,000 daripada Zainal Abidin Ibrahim, 49, bagi membiayai pakej lawatan ke Indonesia pada 23 hingga 27 April tahun lalu.

Ia sebagai dorongan membantu Zainal mendapatkan kerja menaik taraf sistem perparitan dan menurap jalan di sekitar Simpang Renggam dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM1,025,070.20.

Kerja menaik taraf itu membabitkan sistem perparitan di Kampung Shaari/Jalan Masjid Lama bernilai RM192,000 kepada Hazju Enterprise; Kampung Parit Ibrahim Majid kepada Perniagaan Yadaha (RM192, 000) dan kawasan Kampung Melayu kepada Needza Enterprise (RM96,000).

Kerja menurap jalan pula membabitkan laluan di Taman Renggam Jaya berjumlah RM255,841.70 kepada Rozlynn Enterprise; Taman Mohd Yassin kepada Syarikat Aznor Construction (RM170,685) serta Taman Ria dan Taman Nagaria kepada Moliah Enterprise (RM118,543.50).

Manakala, bagi pertuduhan kedua, Mohd Helmi turut memperoleh suapan dalam bentuk cek Bank Muamalat berjumlah RM2,000 daripada Zainal bagi membiayai pakej lawatan sama sebagai dorongan membantu lelaki itu mendapatkan kerja menaik taraf sistem perparitan dan menurap jalan sama yang dikeluarkan MDSR.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Indahpura Kulaijaya, No 483 dan 484, Jalan Kenanga 29/14, Bandar Indahpura, Kulaijaya antara jam 2.45 hingga 3.45 petang 13 April 2009.

Berikutan kesalahan itu, Mohd Helmi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah ditangguh seketika bagi memberi laluan kepada kes lain sebelum Aliman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 7 hingga 18 Mac 2011 sebagai tarikh perbicaraan.

Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syafinas Shabudin menawarkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh dengan alasan ia setimpal dengan jumlah yang terbabit dalam pertuduhan.

Mohd Helmi yang berkemeja kelabu di kandang pesalah, bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana bertanggungjawab menyara keluarga selain tidak mempunyai simpanan mencukupi.


"Saya pohon jaminan yang lebih rendah Yang Arif...saya baru bekerja lima tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000.

"Dengan wang itu, saya perlu membayar sewa rumah RM450 sebulan, ansuran kereta (RM700), perbelanjaan anak (RM350) selain menyara nenek (RM200)," katanya.

Menurut Mohd Helmi, walaupun isterinya juga bekerja, namun mereka tidak mempunyai simpanan melebihi jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

"Bapa saya akan hadir sebagai penjamin, namun saya tetap memohon supaya mahkamah dapat menetapkan jumlah jaminan lebih rendah," katanya yang diwakili peguam Rosli Kamaruddin.

Mahkamah ditangguh seketika bagi memberi laluan kepada kes lain sebelum Aliman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 7 hingga 18 Mac 2011 sebagai tarikh perbicaraan.


Oleh Intan Mas Ayu Shahimi /* CSS Social Media */ #sosmed{margin:20px 0;padding-top:15px;} .nengah{text-align:center!important} .smGlobalBtn{display:inline-block;position:relative;width:40px;height:40px;padding:0px;text-align:center;color:#fff!important;font-size:20px;font-weight:normal;line-height:2em;border-radius:25px;-moz-border-radius:25px;-webkit-border-radius:25px} .facebookBtn{background:#3b5998;opacity:0.4} .facebookBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f09a"} .facebookBtn:hover,.twitterBtn:hover,.googleplusBtn:hover,.linkedinBtn:hover,.pinterestBtn:hover,.rssBtn:hover{color:#fff;opacity:1} .twitterBtn{background:#00ABE3;opacity:0.4} .twitterBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f099"} .googleplusBtn{background:#e13138;opacity:0.4} .googleplusBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f0d5"} .linkedinBtn{background:#0094BC;opacity:0.4} .linkedinBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f0e1"} .pinterestBtn{background:#26ae91;opacity:0.4} .pinterestBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f0d2"} .rssBtn{background:#fb5a03;opacity:0.4} .rssBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f09e"}

Tiada ulasan:

Catat Ulasan