Selamat Datang Dan Terima Kasih Kerana Melayari Blog Ini

Jumaat, 8 Januari 2010

Monyet serang kampung


Haiwan liar rosak kebun pisang penduduk

PONTIAN: Penduduk Kampung Sanglang Laut Benut di sini, hidup dalam ketakutan dengan kehadiran ratusan monyet liar yang merosakkan tanaman mereka terutama pisang dan sayur-sayuran sejak dua tahun lalu.

Mereka mengeluh kerana usaha mencari pendapatan sampingan terjejas berikutan kehadiran monyet itu yang kerap merosakkan tanaman di kebun milik penduduk di situ, berlarutan sehingga kini.

Penduduk mendakwa perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menebang pokok kayu bakau di kawasan hutan kampung berkenaan menjadi punca utama menyebabkan kehadiran haiwan itu memasuki kampung selepas habitat mereka diganggu manusia.

Setakat ini, walaupun kerugian dicatatkan tidak tinggi tetapi usaha penduduk melaksanakan projek pertanian sering kali berakhir dengan kerugian kerana jumlah pisang dan sayur-sayuran yang boleh dijual tidak seberapa.

Beberapa langkah sudah dilaksanakan termasuk membuat pagar tetapi tidak menyeluruh kerana kos yang tinggi, malah saiz ladang yang besar menyukarkan mereka memagar keseluruhan ladang tanaman.

Seorang penduduk kampung berkenaan, Bacok Ladang, 62, berkata sejak penebangan kayu bakau dilakukan individu tidak bertanggungjawab, kawasan hutan bakau yang menjadi pelindung hakisan dan habitat semula jadi haiwan khususnya monyet itu, kini sudah tidak sesuai lagi.

“Pokok yang besar dan subur merendang ditebang, manakala yang baru mula bertunas pula semakin lama semakin pupus kerana hakisan air laut.

“Kami kesal kerana hutan yang dibersihkan oleh pihak terbabit memberi masalah kepada penduduk yang perlu menanam semula pokok di hutan itu, malah lebih malang lagi, projek tanaman pisang dan sayur-sayuran musnah dirosakkan kumpulan monyet liar yang datang menyerang kebun di kampung ini selepas tempat tinggal mereka diganggu,” katanya.

Tinjauan mendapati kumpulan monyet gemar mencari makanan di ladang sayur dan pisang milik penduduk kampung dan kehadiran haiwan liar itu menyebabkan kebimbangan di kalangan masyarakat di situ kemungkinan ia akan menyerang kanak-kanak atau penduduk yang lalu lalang.

Masalah kehadiran monyet itu disuarakan penduduk kampung pada majlis perasmian tanam semula benih pokok bakau di kampung berkenaan anjuran Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Semenanjung (Jaring) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (Pifwa) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang disertai kira-kira 100 orang.

Pada program itu, sebanyak 500 benih pokok bakau ditanam di persisiran pantai yang kini lapang akibat pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab menebang pokok bakau itu tanpa kebenaran.

Sehubungan itu, Pegawai Hutan Daerah Johor Selatan, Mohd Asri Yussof, berkata hutan kayu bakau perlu dijaga kerana selain menjadi habitat haiwan, ia bertindak sebagai benteng semula jadi yang berupaya melindungi dan mengurangkan kesan tsunami.

Bagaimanapun, tragedi tsunami semakin dilupakan berdasarkan kerosakan yang berlaku di hutan bakau apabila banyak pokok ditebang tanpa kawalan.

“Peranan badan bukan kerajaan (NGO) penting dalam hal itu kerana mereka perlu mendidik dan memberi pengetahuan berhubung kepentingan memelihara hutan paya bakau dan alam sekitar, selain menyokong projek tanam semula benih secara konsisten dan berterusan.

“Kes yang berlaku di kampung ini akibat serangan monyet liar sehingga memusnahkan tanaman, antara kesan yang dialami akibat penebangan hutan paya bakau secara haram,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SAM, berkata masyarakat perlu dididik dengan kepentingan memelihara ekosistem lautan dan pesisir laut dan mereka perlu menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memantau pembangunan tidak lestari dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan sosio ekonomi masyarakat.


Oleh Togi Marzuki
bhnews@bharian.com.my
/* CSS Social Media */ #sosmed{margin:20px 0;padding-top:15px;} .nengah{text-align:center!important} .smGlobalBtn{display:inline-block;position:relative;width:40px;height:40px;padding:0px;text-align:center;color:#fff!important;font-size:20px;font-weight:normal;line-height:2em;border-radius:25px;-moz-border-radius:25px;-webkit-border-radius:25px} .facebookBtn{background:#3b5998;opacity:0.4} .facebookBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f09a"} .facebookBtn:hover,.twitterBtn:hover,.googleplusBtn:hover,.linkedinBtn:hover,.pinterestBtn:hover,.rssBtn:hover{color:#fff;opacity:1} .twitterBtn{background:#00ABE3;opacity:0.4} .twitterBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f099"} .googleplusBtn{background:#e13138;opacity:0.4} .googleplusBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f0d5"} .linkedinBtn{background:#0094BC;opacity:0.4} .linkedinBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f0e1"} .pinterestBtn{background:#26ae91;opacity:0.4} .pinterestBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f0d2"} .rssBtn{background:#fb5a03;opacity:0.4} .rssBtn:before{font-family:"FontAwesome";content:"\f09e"}

Tiada ulasan:

Catat Ulasan